Thursday, September 15, 2005

.::. [Secebis Doa ] .::.

Ya Allah
Seandainya telah Engkau catatkan
Dia milikku, tercipta buat diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan antara kami
Kukuhkanlah ukhuwah Islamiyah kami
Agar kemesraan itu kekal abadi

Ya Allah
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihani
Seiringkan kami melayari hidup ini
Ke tepian yang sejahtera dan abadi
Istiqamahkan kami ya Allah
Demi meneruskan perjuangan kami dalam medan dakwah yang penuh cabaran ini
Jika ikatan yang Engkau tentukan ini
Adalah satu pemangkin bagi kami
Untuk menyambung rangkaian mata-mata rantai
Penerus perjuangan yang tidak akan terhenti ini
Maka jodohkanlah kami
Moga putera-puteri kami bisa menjadi muslimin dan muslimat
Pendokong jemaah
Penggerak Islamiyyah


Tetapi ya Allah
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Luputkanlah dia dari ingatanku
Dan peliharalah aku dari kekecewaan
Jika aku gagal menangkis kekecewaan itu
Pelihara dan mantapkanlah imanku
Moga kekecewaan itu tidak menggugat gerak kerja jemaahku


Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti
Berilah aku kekuatan
Menolak bayangannya jauh ke dada langit
Hilang bersama senja yang merah
Agarku sentiasa tenang
Walaupun tanpa bersama dengannya


Ya Allah yang tercinta
Pasrahkan aku dengan takdirkMu
Aku redha dengan segala ketentuan dari Mu
Inilah ujian pentarbiyahan buatku
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku
Sesungguhnya Engkau yang Maha Mengetahui
Segala yang terbaik buat hambaMu


Ya Allah
Cukuplah Engkau sahaja menjadi pemeliharaanku
Di dunia dan akhirat
Dengarkanlah rintihan dari hambaMu yang dhaif ini
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian
Di dunia ini mahupun di akhirat
Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan sefikrah yang beriman
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup
Sama-sama dapat terus bergerak di dalam jemaah Islam


Namun begitu ya Allah
Jangan sesekali Engkau biarkan cintaku kepadanya
Melebihi cintaku kepadaMu
Sesungguhnya Engkaulah cinta agungku
Andainya sudah ditakdirkan buatku
Pendokong jemaah bukan jodohku
Mantapkanlah tarbiyahku
Agar aku mampu membawanya bersama melalui liku perjuangan ini
Sama-sama berusaha mendaulatkan Islam
Ke jalan yang Engkau redhai
Dan kurniakanlah kepadaku keturunan yang soleh dan solehah
Yang pastinya menjadi aset utama penegak syiar agamaMu


Ya Allah
Redhakanlah perjuangan kami
Berikanlah kami kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat
Dan peliharalah kami dari azab api neraka

Amin…amin…ya Rabbal ‘Alamin

Ukhuwah itu indah bila bertemu dan berpisah keranaNya